Thursday 7 March 2019

3 Tanda Anak Salah Pilih Kawan Dan Cara Atasi

3 Tanda Anak Salah Pilih Kawan Dan Cara Atasi
sumber gambar: https://tinyurl.com/y4mqldn4


Salam sejahtera kepada pembaca blog saya sekalian, Hari ini berkesempatan menonton rakaman FB live daripada Ustaz Tido. Secara jujurnya pertama kali dengar nama ustaz ini. Itu pun ada sedara mara yang share FB live tersebut dalam group keluarga. Apapun, alhamdulillah isi yang disampaikan menarik perhatian untuk saya tulis di blog saya ini.

Adalah beberapa point yang sempat saya catat dan boleh saya kongsikan kepada pembaca di luar sana. Jadi sudah tentu ayat yang saya gunakan adalah ayat berdasarkan pemahaman daripada kaca mata saya sendiri. Untuk menonton semula FB live Ustaz Tido tersebut ada boleh klik SINI. 

Sebagai permulaan Ustaz Tido mulakan dengan membawa kepada keadaan semasa sekarang. Saya setuju dan saya rasa ia berlaku kepada semua orang. Kita biasa melihat keadaan di mana sesebuah keluarga itu yang mana ibu dan bapanya sangat baik, mengamalkan ajaran islam dengan sempurna, mengaji al-quran dan sebagainya. Akan tetapi, keluarga tersebut diuji dengan sedikit cabaran iaitu anak-anak bermasalah.

Sudah tentu, ujian ini macam-macam. Allah boleh beri kepada sesiapa sahaja dan ujian setiap manusia juga berbagai rupa.

Ustaz Tido ada memberi kita nasihat iaitu sebenarnya kita ni dalam kehidupan di dunia ini adalah sebagai khalifah. Jadi kita sebagai khalifah ini kita kena sentiasa bertanya kepada diri kita sejauh mana kita telah memberi manfaat kepada orang lain. Marilah kita sama-sama menyumbang dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain bersama-sama. Insyaallah..

Anak-anak ni sebenarnya mereka sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh kawan-kawannya. Ada hadis berkenaan hal ini. Boleh rujuk kemudian nanti dalam FB live tersebut. Dengan siapa kita berkawan, itulah cerminan diri kita sebenarnya.

Ok, seterusnya jom kita teruskan kepada topik utama kita iaitu tanda-tanda anak kita telah salah memilih kawan seperti dibawah:

1) Apabila bercakap, anak-anak tidak memandang muka ibu bapa

Cuba kita perhatikan, kebiasaanya anak-anak kita sejak kecil hingga dewasa mereka pasti bila bercakap, akan memandang muka kita sebagai ibu bapa. Sampai satu tahap kalau kita perhatikan perbuatan ini lama-lama akan hilang. 

Kerana apa, kerana mungkin mereka anak-anak kita telah mula ada kawan lain. Kalau yang yang baik tidak mengapa. Kalau kawan yang tidak baik? itu kita sebagai ibu bapa harus memandang serius.

Ustaz Tido bercakap atas pengalaman beliau sendiri. Ustaz ini banyak membantu masyarakat dalam memberi sesi nasihat atau perundingan kepada sesiapa yang memerlukan. Jadi inilah yang beliau dapat simpulkan.

2) Mula balik lewat

Ini sesuatu yang serius dan perlu diletakkan perhatian kepada ibu bapa sekalian jika mahu anaknya menjadi seorang anak yang baik. Kita boleh agaklah kan, kalau anak dah mula balik lewat malam, pukul 1 pagi atau 2 pagi tanpa alasan yang kukuh maka kita kena selidik.

Biasanya kawan-kawan yang baik ni, jika perhatikan mereka tidak akan keluar malam tanpa alasan yang benar-benar perlu. Jika perlu mereka keluar malam untuk pergi ke sesuatu tempat biasanya pukul 11 malam mereka telah berada di rumah. 

Menurut Ustaz Tido pengalaman beliau memberi ceramah di penjara Kajang, katanya ramai mereka yang di sana kes-kes juvana bukan kerana mereka buat salah, sebaliknya mereka ditahan kerana malam hari kejadian, mereka berada di tempat atau lokasi kes-kes jenayah. Ini prosedur dimana jika berlaku jenayah semua orang yang berada di lokasi akan ditahan. Tengoklah kes apa ya.

Ini yang kita perlu elakkan sebenarnya ikut pada kaca mata manusia yang logik ni, buat apa kita nak lepak-lepak sampai pukul 2-3 pagi macam tu. Bukan ke waktu malam ini Allah kurniakan kepada kita untuk berehat dan beribadat kepadaNya. 

3) Bercakap kasar dengan adik-beradik

Kita dah mula perasan, kita sebagai ibu bapa ni tidak pula pernah bercakap kasar dengan anak-anak. Tiba-tiba satu hari tu kita terdengar anak kita mula bercakap kasar dengan adik-beradik lain atau dengan ibu bapa sendiri.

Waktu ini kita patut merasa curiga. Kalau kita tanya dengan semua ibu bapa pun, apa yang mereka nak dari anak mereka. Waimah penjenayah, penagih dadah sekali pun kalau kita tanya, mereka mengharapkan anak kita tu sopan santun dan menjadi anak yang baik. Betul tak?

Apabila anak muka bercakap kasar sebenarnya ia telah terpengaruh dengan kata-kata kawan yang kurang baik. Jadi anak kita akan terikut-ikut. Bahasa budak sekarang kan pelik-pelik. Maaf cakap ya ini adalah hakikat.


3 Tanda Anak Salah Pilih Kawan Dan Cara Atasi
sumber gambar: https://tinyurl.com/y2krk5sb


Jadi bagaimana kita hendak atasi masalah ini. Jika ada anak-anak kita telah mula menunjukkan tanda-tanda seperti diatas insyaallah masih belum terlambat. Masih boleh diubah dengan izinNya.

Caranya dalah seperti di bawah:

1) Pandang kepada kebaikan anak

Ini yang selalu berlaku dalam minda ibu bapa. Mereka menganggap anak mereka teruk seteruknya. Cuba kita bertanya kepada kawan-kawan dia. Di situ kita akan dapat kenalpasti kekuatan atau kebaikan anak kita.

Bila kita bertanya kepada kawan-kawannya, rupanya anak kita tu suka tolong kawan-kawan, suka belanja kawan makan, rajin menyelesaikan masalah kawan-kawan. Ha, semua ini adalah baik kepada kita sebagai ibu bapa. Lihatlah kebaikan anak ini untuk kita gunakan apabila kita bersama mereka di rumah atau di mana sahaja nanti.

2) Puji anak

Ini merupakan perkara wajib. Sekarang ini kita lihat ramai ibu bapa yang tidak memuji anak.

Anak-anak biasa dipuji oleh kawan-kawan dia. Anak kita menang main game, kawannya puji. Anak kita bawa motorsikal laju, kawannya puji dan sebagainya. Sifat suka dipuji adalah sifat semulajadi manusia.

Jadi kita ibu bapa kurang memuji anak, anak akan lebih suka kawan-kawannya kerana kononnya kawan lebih memahami dan suka memuji. Mereka jadi rapat sebab pujian.

Zaman kita memuji anak orang lain telah tamat. Itu bukan trend sekarang. Hentikan. Lebih-lebih lagi memuji anak orang lain di depan anak sendiri. Lagi tidak boleh. Hendak puji anak orang lain boleh..tapi, puji senyap-senyap tanpa anak kita sedari. Puji depan ibu bapa mereka tanpa didengari oleh anak kita sendiri.

Ini perkara basic. Cuba lihat kita sendiri. Sambil-sambil kita duduk dengan wife kita tiba-tiba wife kita puji suami orang lain tu hebat, pandai itu dan ini. Mesti berbulu je telinga kita dengar bukan?

Begitu juga apabila suami kita memuji isteri orang lain cantik, hebat itu dan ini. Agak-agak berbulu tak telinga isteri kita tu?

3) Ajak anak-anak keluar minum dan jalan-jalan keluar

Ini juga paling penting. Ramai ibu bapa abaikan perkara ini. Kalau kawan-kawan ajak keluar pasti ibu bapa akan pergi. Jauh atau dekat pasti kita pergi. Tidak sanggup rasanya ingin menolak ajakan kawan kita tu kan?

Bila anak sendiri, kita tidak buat perkara yang sama. Jarang kita keluar minum- minum dengan anak atau bersiar-siar.

Apabila kita telah buat perkara ini, pastikan 100% tumpuan diberikan kepada anak-anak- Simpan semua gadget. Anak dan ibu bapa perlu berkomunikasi, bermesra bergurau pandang semua muka anak-anak kita. Jika kita masih memegang gadget. Seriously, ia tidak membantu langsung. Ingat tidak membantu dan sia-sia je kita keluar dengan anak-anak kita semua tu.

Apa yang penting bila kita keluar dan bersiar-siar bersama adalah masa yang berkualiti. Sejauh mana kualiti masa tersebut kita gunakan untuk berinteraksi dengan anak-anak kita. Ingat ini yang penting tau. Bukan berapa kerap kita keluar dengan anak-anak. Kalau kita rajin keluar dengan anak-anak, lepas tu semua anak, ibu dan bapa sibuk dengan handphone masing-masing. Rugi. Serius rugi.

3 Tanda Anak Salah Pilih Kawan Dan Cara Atasi
sumber gambar: https://tinyurl.com/y59zft5x


Tuntasnya begini, apabila kita mahukan keluarga dan anak-anak yang baik pokok pangkalnya kita kena sama-sama berusaha ke arah itu. 

Kadang-kadang tanpa sedar kita sebagai ibu bapa telah tersasar dalam kita mendidik anak kita ini untuk menjadi muslim sejati.

Esok di hari akhirat Allah akan persoalkan semuanya termasuklah perihal tanggungjawab kita kepada anak-anak kita.

Semoga dengan perkongsian ini ia memberi menfaat kepada semua. 

Akhir kata terima kasih kepada Ustaz Tido atas perkongsian tips ini di Fb beliau. Saya sekadar mengolah.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Menarik Lain

Recent Post

Recent Posts Widget